Friday, October 21, 2011

SEDIH BUKAN PENYELESAIAN


Dunia ini penuh dengan cabaran dan pancaroba. Walau sepahit mana sekalipun, hidup perlu di teruskan selagi hayat di kandung badan.
Jika hari ini kita susah, usah merungut kerana ada yang kehidupannya kurang bernasib baik dari kita. Jangan kita memandang orang yang berada di atas, kelak kita sendiri yang akan binasa kerana terlalu menginginkan hidup yang mewah.
Tetapi pandang orang yang berada di bawah kita dengan penuh hikmah kerana ia akan menjadikan kita lebih bersyukur kerana kehidupan kita lebih baik dari orang lain.
Allah S.W.T berkuasa ke atas hamba-hambanya. Allah S.W.T maha bijaksana dalam mengatur yang terbaik untuk hamba-hambanya. Kita sebagai manusia jangan mudah berputus asa dalam memohon keampunan dan pertolongan dari-Nya.
Anggap musibah yang melanda sebagai ujian kerana Allah sedang menguji keimanan dan ketaqwaan hamba-hambanya.
Allah S.W.T berfirman :
"Dan sungguh akan kami  berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar". (Al- Baqarah : 155)
Hadapi musibah itu dengan hati yang tenang dan redha. Jangan kita mudah berputus asa dan bersedih setiap hari mengenangkan nasib. Musibah yang menimpa kita itu akan menjadikan kita kuat dan matang. Ujian yang Allah berikan juga akan mendidik kita untuk mendekatkan Diri kepada yang maha esa.
Mungkin salami ini kita lalai dalam mengingatinya. Dengan ujian yang melanda, akan membuatkan kita dekat kepada-Nya dengan berdoa dan kembali kepada jalan yang diredhai.
Berdoalah kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya doa itu adalah senjata bagi orang mukmin.
Firman Allah S.W.T :
"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya aku perkenankan doa kamu". (Al- Mukmin : 60)
Jangan terlalu bersedih atas musibah yang melanda kerana apabila Allah menguji hambanya, itu bermakna Allah sayang kepada hambanya. Kuatkan hati dan bangkit bangun dari kesedihan kerana dengan bersedih tidak dapat menyelasaikan masalah. Katakan lah pada diri "masih ada hari esok untuk aku".
Jadi, bangkit lah untuk menjadi lebih kuat dan terus kan hidup ini dengan membuat sesuatu yang terbaik.
Walau apa pun ujian yang melanda, ingatlah bahawa Allah S.W.T sentiasa bersama kita selagi kita ingat kepada-Nya. Kita tidak pernah keseorangan dalam kehidupan ini kerana Allah itu dekat dengan kita. Dekatkan lah diri kita kepada Allah dengan mendirikian solat dan berzikir. Cari teman untuk berkongsi masalah.
Ikhlaskan hati dan redha dalam menghadapi musibah itu akan menjadikan kita tenang. Renungkan kembali, mungkin musibah yang melanda adalah kifarah dosa kita yang lalu. TEKAD UNTUK TIDAK MENGULANGINYA.
Bersabar dalam menghadapi musibah, itu adalah yang terbaik. Jangan terburu-buru membuat sesuatu yang boleh memudaratkan diri sendiri. Isi masa yang terluang dengan perkara yang berfaedah seperti bersukan, membaca buku-buku motivasi, solat sunat dan bertadarus. Semua ini akan membuatkan kita lupa pada masalah yang sedang kita hadapi.
Jangan berputus asa dalam memohon rahmat dan keampunan Allah S.W.T. Jangan biarkan hidup hancur akibat tidak sabar, Keluarga akan hancur akibat emosi yang berpanjangan dan pekerjaan menjadi kacau akibat tidak pandai mengatur.

Tuesday, July 26, 2011

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN


"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa". (Al-Baqarah ayat:183)
"(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui" (Al-Baqarah ayat:184)
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur". (Al-Baqarah ayat:185)
"Setiap hamba yang berpuasa dijalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun".
(Bukhari-Muslim)
Ramadhan kembali menjelma lagi,
Terubat rindu di hati ini,
Rinduku pada solat Sunat Terawih,Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Terawih) dalam bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu".
Rinduku pada taddarus Al-Quran,Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:"Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membacadan bertadarus Al-Qur'an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan(sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada
para malaikat"
Rinduku pada malam Lailatul-Qadar,
"Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rinduku pada segala-galanya di bulan ini..Masih sempatkahku untuk menyempurnakan rindu itu,Penuhilah hari-harinya dengan beribadat,Kejarlah syurga dan jauhilah neraka,
Moga bahagia sepanjang hayat.
BERBUAT IBADAH DENGAN PENUH PENGHAYATAN,
AMALAN DIPERTINGKATKAN PAHALA DI GANDAKAN,
SINAR HIDAYAH SEPANJANG ZAMAN,
NERAKA DIJAUHI, SYURGA DIKEJARKAN.

Sunday, July 17, 2011

KEHEBATAN DI BULAN SYAABAN


alt
Rejab sudah berlalu. Kini telah pertengahan Syaaban. Lambaian Ramadan 15 hari lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda, "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان
"Allahuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan"
Maksudnya: "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."
Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.
Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak.
Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang.
Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
Diantara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah SAW, "Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Fadhilat Syaaban
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Peristiwa-peristiwa penting di Bulan Syaaban
1. Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW): "Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca: "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.
2. Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT.
Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya'. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.
3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.
Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.
Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.
Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.
Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.
Begitu besarnya fadhilat bulan Syaaban. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkannya.

petikan artikel iluvislam.com